Tuesday, October 27, 2009

Negara Islam mundur mudah ditekan

Nilai agama bantu pentadbiran cekap


MELAKA: Sebuah pemerintahan cekap dan adil yang diterajui orang Islam perlu bertunjangkan kepada nilai Islam, iaitu adil dalam semua perkara, bersih daripada rasuah, menghormati undang-undang serta prihatin kepada semua kaum, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, mendirikan pemerintahan yang baik apabila berkuasa amat penting untuk menentukan Islam berkembang dengan baik dan mereka yang bukan Islam tidak menjauhkan diri daripada orang Islam.

"Percayalah jika kita dapat dirikan pemerintahan seperti ini (nilai Islam), banyak manfaat akan diperoleh antaranya kefahaman mengenai ajaran Islam akan meningkat di samping masyarakat lebih bersedia menerima saranan pemerintah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan kebangsaan ke-48 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di sini semalam. Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim sejak 2006 berkata apabila pemerintahan orang Islam dicemar dengan kebengisan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kurang kecekapan dan penindasan terhadap orang lain, maka persepsi orang lain terhadap agama Islam juga akan menjadi buruk.

"Hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang boleh ditakrif sebagai negara maju di dunia ini. Sekali lagi ada yang berpendapat kemajuan negara Islam tidak penting, tetapi kita tahu nasib buruk banyak negara Islam kerana mereka tidak maju.

"Mereka terpaksa mengemis, meminta-minta bantuan daripada orang lain dan akibatnya mereka sering ditekan oleh orang yang membantu mereka yang mungkin sebenarnya musuh mereka," katanya.

No comments:

Post a Comment