Monday, August 22, 2016

CAMP 2016 ’Teen Talk’2 PEKIM PUTRAJAYA Tarikh: Sabtu-Ahad, 25 & 26 Julai 2016 Tempat: Impian Country Resort, Hulu Langat Selangor

Segala puji bagi Allah, Pentadbir alam buana, Penguasa pada percaturan hidup manusia. Segugus cinta buat junjungan tercinta Rasulullah s.a.w, idola mukmin sedunia. Di dalam usaha melestari generasi Rabbani, menunjang agama jua menggilap  potensi kini agar terus memiliki syakhsiah dan akhlak yang murni, sesuatu perlu dilakukan.

Anak-anak generasi milenia kini semakin dicabar dengan pendedahan pengaruh serta budaya barat. Tanpa bimbingan dan tunjuk ajar dari ibu bapa dan masyarakat, anak-anak muda amnya para remaja dan khas buat remaja yang masih bersekolah akan mudah terpengaruh dengan perkara negatif yang diperolehi dari budaya barat tersebut. Walaupun masih ada perkara positif yang boleh kita peroleh, namun jiwa remaja yang lebih sukakan cabaran akan mendorong mereka untuk memilih perkara yang mencabar dan negatif itu. Peringkat remaja adalah tahap dimana mereka masih di dalam pencarian siapa diri mereka yang sebenar dan ke mana hala tuju mereka.

Sehubungan itu, PERKIM Putrajaya selaku NGO yang menjadikan kebajikan sebagai tema perjuangannya kepada masyarakat khususnya kepada remaja dengan kerjasama Ummah Centre, sebuah badan penyelidikan bebas telah mengambil satu inisiatif untuk mengadakan program yang akan membimbing para remaja.Maka dengan ini, `Teen Talk 2’ kesinambungan daripada program Teen Talk 1 adalah modul yang sewajarnya kami bawa untuk program yang bakal dilaksanakan di Impian Country Resort, Hulu Langat, Selangor. Program ini dicetus dan diilhamkan buat merealisasikan hasrat dan cita-cita itu. Semoga generasi yang bakal lahir adalah generasi Rabbani yang sentiasa menunjang agama di setiap aspek kehidupan serta memiliki syakhsiah murni dan terpuji.

OBJEKTIF

Mengumpulkan kembali dan mengeratkan silaturahim peserta-peserta Teen TalK 1 dengan PERKIM PutrajaYA.

Melahirkan peserta yang memahami matlamat asal kewujudan sebagai seorang hamba melalui slot pembentangan audio & video serta perkongsiaan pengalaman penceramah dan fasilitator.

Mencungkil dan menghargai bakat dan potensi diri peserta melalui aktiviti-aktiviti interaktif dan bersifat pembinaan kendiri.