MOHD. Ravi Abdullah bersama isteri, Siti Khatijah Abdullah dan anak kedua mereka, Mohd Puven.
SABDA Rasulullah s.a.w., Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, akan diberi faham dalam agama. Saya cuma orang yang membahagi, Allah jua yang memberi.
Umat ini tidak dapat tegak atas agamanya. Orang yang menyalahi mereka tidak dapat menganggu (merosakkan) mereka sehingga tiba pekerjaan Allah. (Hadis Syaikhan)
Itulah yang dialami anak kelahiran Kg Kelanang, Banting, Selangor, Muhammad Rawi Abdullah bagaimana pintu hatinya diketuk Allah s.w.t. Cuma dalam kisah penghijrahan akidah pengarah Marvitech Sdn. Bhd. ini, cara penyampaian hidayah itu diperoleh dikira cukup ‘unik’ atau berbeza daripada kebiasaan mereka yang bergelar mualaf.
Katanya, hidayah Allah kepadanya kadangkala sukar diceritakan kepada orang lain kerana bimbang berbeza pandangan dan pemahaman. Malah takut juga nanti dituduh mengada-adakan cerita.
“Semuanya bermula sejak 1996 di mana saya alami mimpi pertama iaitu bermimpikan bulan yang di dalamnya tertera kalimah Allah. Saya ada memberitahu kepada seorang tua di kampung. Selang beberapa tahun kemudian, saya membuka perniagaan di tapak ini dan membeli rumah di Bangi, sekali lagi saya bermimpi.
“Kali ini saya terdengar satu suara dari arah masjid berdekatan, sedang mengumumkan tentang pengislaman saya. Saya agak pelik dan menceritakannya kepada rakan kongsi. Dia terus memberi amaran kepada supaya jangan sekali-sekali saya berniat untuk memeluk Islam kerana jika saya teruskan maka buruk padahnya. Jadi saya buat tidak kisah apatah lagi, saya sudah berkahwin dan mempunyai anak,” cerita Mohd. Ravi, 39.
Beliau mengusahakan perniagaan jual beli kereta baru dan terpakai, perkhidmatan mencuci kenderaan, sewa kereta dan penyediaan pekerja kontrak sejak 2003 di samping kedai makan Restoran Rawia Maju. Meneruskan kisah pengalaman pelik yang dilalui, kata anak kedua daripada tiga adik-beradik ini lagi, pada penghujung 2005, anak pertamanya, Mohd. Yuven yang pada masa itu berusia tiga tahun, menangis tidak berhenti-henti.
Beberapa kali Mohd. Ravi dan pekerjanya cuba memujuk tetapi tidak berjaya malah tambah mengejutkan apabila diberitahu dia (Mohd. Yuven) hendak melihat dengan Allah. Akui Mohd. Ravi, dia jadi buntu apabila pelbagai cara dilakukan tetapi Mohd. Yuven terus memberontak dan meminta dibawa ke masjid berdekatan. Beliau sempat menghubungi seorang kenalan, Haji Jamil tetapi kecewa kerana panggilannya tidak dijawab. Lantas, dia menyuruh pekerjanya membawa anaknya mengelilingi kawasan perkarangan masjid.
Keesokan harinya barulah muncul Haji Jamil dan isterinya di kedai. Apabila anak Mohd. Ravi ternampak sahaja mereka, dia menangis dan minta dibawa ke masjid.
“Selepas lebih sejam, mereka balik dan saya diberitahu anak saya sedikitpun tidak kekok berwuduk, bersolat dan berdoa. Bukan saya sahaja yang hairan malahan Haji Jamil dan isterinya. Pernah juga risau, kalau-kalau anak saya pula yang mengajak saya bersolat.
“Lantaran itu, sewaktu bersama teman dalam perjalanan ke satu destinasi, saya cuba-cuba bersolat. Selepas itu, sekali lagi saya bermimpi, saya berada di dalam kenderaan bersama seorang teman mualaf, Mohd. Ibrahim tiba-tiba saya terlihat sebaris ayat al-Quran di langit. Saya ceritakan mimpi itu kepada Haji Jamil tetapi entah macam mana hati saya menjadi sayu, sebak dan terus menangis,” jelasnya.
Keesokannya pula, Mohd. Ravi bermimpi mengucap dua kalimah syahadah sebanyak dua kali lafaz dan kemudian bermimpi pula disuruh mendirikan solat oleh seorang lebai serba putih.
“Pada masa itu saya menolaknya biarpun beberapa kali digerakkan kerana terlalu mengantuk. Saya lihat jam menunjukkan pukul 5.45 pagi iaitu waktu solat Subuh,” akui Mohd. Ravi sekali lagi mengalami satu kejadian luar biasa di kedainya sekali gus membawa kepada detik pengislaman di hadapan pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah pada 12 Julai 2006.
Namun kata Mohd. Ravi, pada hari dilangsungkan pengislaman itu juga ada kisahnya yang tersendiri. Siapa sangka hasratnya untuk meneruskan niat pengislaman sedikitpun tidak dibantah ibu sungguhpun dia sekadar diberitahu menerusi telefon beberapa minit sebelum majlis itu.
Tidak terhenti di situ sahaja, Mohd. Ravi diislamkan sekali lagi di hadapan ketua kampung, Masjid Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor, Haji Rosli Deren, esoknya.
Dua bulan kemudian, barulah dia ke Pejabat Agama Islam Sepang untuk membuat pendaftaran pengislaman.
Benarlah bagai dikata, bergelar saudara baru mengundang pelbagai cabaran dan dugaan yang menuntut kesabaran. Penulis dikejutkan apabila pertanyaan tentang situasi getir itu menyebabkan Mohd. Ravi spontan sebak meskipun berusaha menyembunyikannya.
Rupa-rupanya apa yang dihadapi itu ada hikmah di sebaliknya serta lebih mendekatkan serta menambah keyakinan beliau kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Sekelip mata kehidupan Mohd. Ravi berubah dan keperitan itu tidak terhingga rasanya.
“Alhamdulillah, isteri saya begitu memahami dan sentiasa menyokong biarpun dia sendiri terkena tempiasnya. Saya mengambil keputusan menyendiri di masjid berhampiran dengan tujuan mencari ketenangan.
“Sepanjang di sana saya tidak henti-henti berdoa dan berjanji kepada-Nya bahawa walau apa dugaan yang melanda, saya tidak akan lari daripada Allah,” tambahnya.
Menurut Mohd. Ravi, beliau sekali lagi bermimpi berada dalam suasana seperti di masjid dan semua orang dalam keadaan gembira.
“Apabila saya tersedar, hati saya jadi tenang. Sejak itu satu demi kehidupan saya berubah. Saya berterima kasih kepada mereka yang banyak membantu sama ada secara langsung dan tidak langsung.
“Ini kerana sokongan dan kepercayaan merekalah yang membangkitkan semangat dan kekuatan saya sekali gus berazam membuktikan kejayaan setelah bergelar Muslim,” katanya yang sehingga kini berjaya mengislamkan tiga orang dan tidak melepaskan peluang mengikuti kursus-kursus ilmu anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Akui Mohd. Ravi, pengalaman kerohanian yang dikurniakan Allah silih berganti ke atasnya, telah membina benteng keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya biarpun ada segelintir pihak yang berniat tidak baik kepadanya.
Keyakinan ini bertitik tolak daripada hadis di atas kerana setiap yang kita anggap buruk, teruk ataupun negatif itu ada hikmah yang Allah sahaja mengetahuinya.Bagi Mohd. Ravi tiada apa yang lebih menggembirakan apabila pengislamannya turut diikuti isteri tercinta, Siti Khatijah Abdullah, 35. Perkahwinan yang dibina diceriakan dengan keletah dua ‘heronya’ iaitu Mohd. Yuven, 7, dan Mohd. Puven, 5.
Kini, apabila rumah tangga dan perniagaan semakin stabil, Mohd. Ravi beriltizam untuk berdakwah menyebarkan syiar Islam dan pada masa yang membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim piatu.
Kini untuk tujuan tersebut beliau telah diamanahkan sebagai Setiausaha Kehormat PERKIM cawangan Putrajaya di samping Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Mualaf Daerah Sepang di bawah kendalian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Kepada Muslimin muslimat yang ingin mendapatkan khidmat pembelian, penjualan penyewaan kenderaan dan sebagainya dari perniagaannya bolehlah menghubungi beliau di talian 019-324 2734 @ 012-671 6201, Pejabat 03-8926 7081, Faks 03-8926 7734.
Sementara itu, pesara tentera, Razali Husseen memberitahu, bantuan yang dihulurkan kepada Mohd. Ravi cuma sekecil zarah berbanding pertolongan sewajarnya kepada mereka yang bergelar mualaf.
“Ramai yang alpa tentang tanggungjawab setiap umat Muslim terhadap saudara sesama Islam apa lagi orang itu adalah seorang saudara baru. Ini kerana tentangan dan cabaran yang dihadapi jauh lebih hebat berbanding umat Islam asli.
“Saya melihat Mohd. Ravi ini seorang yang sudah ada ciri-ciri Islam sebelum memeluk Islam lagi. Jadi, kalau kita tidak dapat membantu dari segi material, sokongan moral itu sudah jauh lebih baik,” ceritanya yang sering mencuci kereta di situ. Rakannya, Abdul Rahim Mohd. Nor pula berkata, sikap istiqamah yang ditunjukkan oleh Mohd. Ravi wajar dicontohi kerana itulah keunikan beliau dari sudut pandangannya.
“Ada ketikanya Mohd. Ravi meluahkan kepada saya tentang sikap segelintir umat Islam yang sudahlah tidak membantu tetapi tambah menyusahkan hidupnya.
“Hakikatnya, orang Melayu Islam perlu bersikap lebih terbuka dan jangan menganggap agama Islam itu milik bangsa mereka semata-mata. Sebenarnya, kita perlu sama-sama memudahkan sejajar dengan saranan Islam iaitu Islam itu mudah,” katanya sebelum kami menikmati makan tengah hari.