Tuesday, October 27, 2009

Negara Islam mundur mudah ditekan

Nilai agama bantu pentadbiran cekap


MELAKA: Sebuah pemerintahan cekap dan adil yang diterajui orang Islam perlu bertunjangkan kepada nilai Islam, iaitu adil dalam semua perkara, bersih daripada rasuah, menghormati undang-undang serta prihatin kepada semua kaum, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata, mendirikan pemerintahan yang baik apabila berkuasa amat penting untuk menentukan Islam berkembang dengan baik dan mereka yang bukan Islam tidak menjauhkan diri daripada orang Islam.

"Percayalah jika kita dapat dirikan pemerintahan seperti ini (nilai Islam), banyak manfaat akan diperoleh antaranya kefahaman mengenai ajaran Islam akan meningkat di samping masyarakat lebih bersedia menerima saranan pemerintah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan kebangsaan ke-48 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di sini semalam. Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Dr Mahathir yang juga Yang Dipertua Perkim sejak 2006 berkata apabila pemerintahan orang Islam dicemar dengan kebengisan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kurang kecekapan dan penindasan terhadap orang lain, maka persepsi orang lain terhadap agama Islam juga akan menjadi buruk.

"Hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang boleh ditakrif sebagai negara maju di dunia ini. Sekali lagi ada yang berpendapat kemajuan negara Islam tidak penting, tetapi kita tahu nasib buruk banyak negara Islam kerana mereka tidak maju.

"Mereka terpaksa mengemis, meminta-minta bantuan daripada orang lain dan akibatnya mereka sering ditekan oleh orang yang membantu mereka yang mungkin sebenarnya musuh mereka," katanya.

Mesyuarat Agong PERKIM Ke 48 - Sesebuah pemerintahan Islam perlu adil dalam semua perkara: Tun M

9 Orang Perwakilan Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan. (Ustaz Mohamad Nazir Zakaria -Pengerusi Perkim Cawangan Putrajaya - Berkopiah Putih)

MELAKA: Sebuah pemerintahan yang cekap dan adil yang diterajui oleh orang Islam perlu bertunjangkan kepada nilai Islam iaitu adil dalam semua perkara, bersih daripada rasuah, menghormati undang-undang serta prihatin kepada semua kaum.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata justeru mendirikan pemerintahan yang baik apabila berkuasa amatlah penting untuk menentukan Islam berkembang dengan baik dan mereka yang bukan Islam tidak menjauhkan diri daripada orang Islam.

"Percayalah jika kita dapat dirikan pemerintahan seperti ini (nilai-nilai Islam), banyak manafaat akan diperoleh antaranya kefahaman tentang ajaran Islam akan meningkat di samping masyarakat lebih bersedia menerima saranan pemerintahan," katanya ketika berucap di mesyuarat agung tahunan kebangsaan ke-48, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) di sini hari ini.



Antara 450 Perwakilan Perkim Bahagian dari Seluruh Negara

Turut hadir ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman.

Dr Mahathir, yang juga Yang Dipertua Perkim sejak 2006, berkata apabila pemerintahan orang Islam dicemar dengan kebengisan, penyalahgunaan kuasa, rasuah, kurang kecekapan dan penindasan terhadap orang lain, maka persepsi orang lain terhadap agama Islam juga akan menjadi buruk.

"Hari ini tidak ada satu pun negara Islam yang boleh ditakrif sebagai negara maju di dunia ini. Sekali lagi ada yang berpendapat kemajuan negara Islam tidak penting.

"Tetapi kita tahu nasib buruk ramai negara Islam kerana mereka tidak maju. Mereka terpaksa mengemis, meminta-minta bantuan daripada orang lain dan akibatnya mereka sering ditekan oleh orang yang membantu mereka yang mungkin sebenarnya musuh mereka," katanya.

Sebaliknya, kata beliau, kemajuan negara Islam akan menjana penghormatan kepada Islam dan segala ajarannya sebagaimana berlaku pada zaman tamadun kegemilangan Islam.

"Betapa pentingnya orang Islam berjaya dalam semua bidang, sosial, ekonomi, politik dan lain-lain sebagai satu daripada cara menarik perhatian, menambahkan kefahaman dan kehormatan, bahkan menawan hati orang bukan Islam untuk mengenali agama Islam dan kebaikannya," katanya.

Thursday, October 22, 2009

Potret program lawatan ke kelantan 27 - 28 Jun 2009

Pada 27 Jun 2009 yang lalu PERKIM Cawangan Putrajaya telah mengadakan lawatan ke negeri Kelantan selama dua hari yang terdiri daripada ahli-ahli PERKIM Cawangan Putrajaya serta 15 orang dari masyarakat India yang berda di Putrajaya dan sekitarnya di ketuai oleh Muhammad Ravi Abdullah Setiausaha Kehormat PERKIM Cawangan Putrajaya

Kesemua rombongan telah diraikan dalam majlis makan tengahari dan rombongan telah disambut oleh pegawai PERKIM Bahagian Kelantan. Sebelum itu mereka di bawa melawat Kompleks Pentadbiran Kota Darul Naim selama satu jam. Rata-rata mereka dari kalangan masyarakat India berasa seronok dan teruja melihat kompleks pentadbiran dengan konsep yang begitu menarik dan sederhana.

Rombongan ini juga dibawa melawat patung Budha ukiran besar di Tumpat, Masjid Jubli Perak ‘Masjid Cina’ di Rantau Panjang, Pasar basah orang Cina Kelantan dan Pusat mencanting batik.

Menurut Muhammad Ravi program seumpama itu memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat India kerana mereka dapat melihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh Islam tidak membezakan dan mendiskriminasikan agama lain dan boleh hidup aman damai.

Berdasarkan kepada maklum balas yang kita terima daripada peserta sebuah bas rombongan ini menunjukkan orang India memberikan reaksi yang amat positif.

Usaha PERKIM Putrajaya ini mendapat sokongan dan bantuan dari Ustaz Mohamad Nazir Zakaria Pengerusi PERKIM Putrajaya yang pernah belajar di Pondok Pasir Tumboh Kota Bharu Kelantan.

Terima kasih juga diucapkan kepada Tuan Haji Zulkefli b. Wahijan Nazir, Pengerusi Surau al-Muhsini Petronas Twin Tower yang menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan pihak PERKIM Cawangan Putrajaya dalam melanjalankan program tersebut.

Rombongan ini juga berkesempatan beramah mesra dengan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, di rumahnya di Pulau Melaka. Tuan Guru adalah Pengerusi PERKIM Bahagian Kelantan.

Sumbangan Zakat SME Bank Kepada PertubuhanKebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Putrajaya

SME Bank Kuala Lumpur telah menyumbangkan bantuan zakat Kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Cawangan Putrajaya sebanyak RM 5,000.00.

Cek sumbangan telah disampaikan oleh Wakil Ibu Pejabat SME Bank Kuala Lumpur kepada Ustaz Mohamad Nazir selaku Pengerusi PERKIM Cawangan Putrajaya pada 29 september 2009.

Pihak PERKIM Cawangan Putrajaya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak SME Bank kerana membantu bagi menjayakan usaha mempromosikan Dakwah Islamiyyah secara berhikmah dan membimbing masyarakat khususnya dan warga Putrajaya secara amnya.

PERKIM sebagai sebuah Pertubuhan Kebajikan yang ditubuhkan berasaskan kepentingan Islam, sentiasa menyusun strategi dan program yang dapat menjayakan usaha Dakwah bil Hal selaras dengan tuntutan kerajaan untuk melahirkan umat ulul albab yang berteraskan Al-Quran dan Sunnah.

PERKIM Cawangan Putrajaya yang baru ditubuhkan pada 16 Mac 2009 dengan no. Rujukan PPMnya ialah PPM/WKL.76/61-218 yang beralamat cawangannya di No. 4 Jalan p14A 1/1 Presint 14, 62050 Putrajaya merupakan Pertubuhan yang berusaha merealisaikan cita-cita yang mulia ini. Tambahan pula, Putrajaya sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Malaysia seharusnya mekar dengan usaha da’wah, amar ma’ruf nahi mungkar, menuju kearah sebuah negara yang sejahtera dan sentiasa di bawah rahmat Allah SWT.

PERKIM Cawangan Putrajaya amat memerlukan sumbangan pihak yang berkemampuan untuk menyumbang ke Dana Perkim Cawangan untuk merialisasikan program-program yang telah dirancang sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

Kepada mereka yang ingin menyumbang dalam apa jua bentuk boleh menghantar kepada Saudari Suraini bt Wahab, Bendahari, PERKIM Cawangan Putrajaya di No. 41B, Tingkat 2, Jalan Diplomatik, Presint 15, 62050 PUTRAJAYA. Sumbangan terus juga boleh dibuat ke dalam akaun Bank Islam atas nama PERKIM Cawangan Putrajaya, No Akaun 16018010014343

Sunday, September 13, 2009

Majlis Sumbangan Kepada Fakir Miskin Sempena Ramadhan & Syawal Al-Mubarak...

Assalamu’alaikum wm.wrt,

Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka dalam kesempitan. Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi s.a.w jelas menganjurkan umat Islam sangat-sangat digalakan menghidupkan amalan sedekah kerana ia banyak manfaatnya terutamanya di bulan Ramadhan al-mubaraq yang penuh keberkatan dan keampunan ini.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang soleh.” (al-Munafiquun: 10)

Menjelang 1 Syawal yang tinggal tidak berapa hari lagi, maka PERKIM Cawangan Putrajaya telah menganjurkan majlis penyampaian sumbangan Aidil Fitri bagi tahun ini. Sumbangan ini telah disalurkan kepada golongan fakir miskin dan tahfiz di sekitar Cawangan ini. Program telah diadakan di Kawasan Use Car Sdr Mohamad Ravi Abdullah Setiausaha Kehormat PERKIM Putrajaya. Dalam Program tersebut pihak PERKIM telah menjemput sekumpulan anak-anak Tahfiz al-Muqri Puchong. Majlis dimulakan dengan solat terawikh dan diimamkan oleh salah seorang pelajar Tahfiz berkenaan

"Program seperti ini InsyaAllah akan kita laksanakan untuk membantu mereka yang memerlukan dan akan di teruskan dari semasa kesemasa selaras dengan misi dan visi PERKIM sebagai sebuah badan kebajikan Islam. ujar Ustaz Mohamad Nazir selaku Pengerusi PERKIM Cawangan Putrajaya. Sehubungan itu, PERKIM Cawangan Putrajaya memohon jasa baik tuan2 / puan2 agar dapat menghulurkan sumbangan bagi mengumpul dana untuk menjayakan setiap program yang dirancang.

Dalam program tersebut Ustaz Mohamad Nazir mengucapkan berbanyak terima kasih kepada dermawan dan PERKIM Bahagian khususnya kerana menyumbang untuk program kali ini.

kepada para penyumbang yang ingin menyumbang sumbangan mereka boleh dihulurkan terus kepada Pengerusi atau Bendahari Kehormat Pn Suriani bt Wahab di talian 012-2996545, atau dibank-in ke akaun berikut:

PERKIM CAWANGAN PUTRAJAYA

Bank Islam 16018010014343

Monday, August 10, 2009

Hidayah kepada Mohd. Ravi unik

MOHD. Ravi Abdullah bersama isteri, Siti Khatijah Abdullah dan anak kedua mereka, Mohd Puven.
SABDA Rasulullah s.a.w., Siapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, akan diberi faham dalam agama. Saya cuma orang yang membahagi, Allah jua yang memberi.

Umat ini tidak dapat tegak atas agamanya. Orang yang menyalahi mereka tidak dapat menganggu (merosakkan) mereka sehingga tiba pekerjaan Allah. (Hadis Syaikhan)

Itulah yang dialami anak kelahiran Kg Kelanang, Banting, Selangor, Muhammad Rawi Abdullah bagaimana pintu hatinya diketuk Allah s.w.t. Cuma dalam kisah penghijrahan akidah pengarah Marvitech Sdn. Bhd. ini, cara penyampaian hidayah itu diperoleh dikira cukup ‘unik’ atau berbeza daripada kebiasaan mereka yang bergelar mualaf.

Katanya, hidayah Allah kepadanya kadangkala sukar diceritakan kepada orang lain kerana bimbang berbeza pandangan dan pemahaman. Malah takut juga nanti dituduh mengada-adakan cerita.
“Semuanya bermula sejak 1996 di mana saya alami mimpi pertama iaitu bermimpikan bulan yang di dalamnya tertera kalimah Allah. Saya ada memberitahu kepada seorang tua di kampung. Selang beberapa tahun kemudian, saya membuka perniagaan di tapak ini dan membeli rumah di Bangi, sekali lagi saya bermimpi.

“Kali ini saya terdengar satu suara dari arah masjid berdekatan, sedang mengumumkan tentang pengislaman saya. Saya agak pelik dan menceritakannya kepada rakan kongsi. Dia terus memberi amaran kepada supaya jangan sekali-sekali saya berniat untuk memeluk Islam kerana jika saya teruskan maka buruk padahnya. Jadi saya buat tidak kisah apatah lagi, saya sudah berkahwin dan mempunyai anak,” cerita Mohd. Ravi, 39.

Beliau mengusahakan perniagaan jual beli kereta baru dan terpakai, perkhidmatan mencuci kenderaan, sewa kereta dan penyediaan pekerja kontrak sejak 2003 di samping kedai makan Restoran Rawia Maju. Meneruskan kisah pengalaman pelik yang dilalui, kata anak kedua daripada tiga adik-beradik ini lagi, pada penghujung 2005, anak pertamanya, Mohd. Yuven yang pada masa itu berusia tiga tahun, menangis tidak berhenti-henti.

Beberapa kali Mohd. Ravi dan pekerjanya cuba memujuk tetapi tidak berjaya malah tambah mengejutkan apabila diberitahu dia (Mohd. Yuven) hendak melihat dengan Allah. Akui Mohd. Ravi, dia jadi buntu apabila pelbagai cara dilakukan tetapi Mohd. Yuven terus memberontak dan meminta dibawa ke masjid berdekatan. Beliau sempat menghubungi seorang kenalan, Haji Jamil tetapi kecewa kerana panggilannya tidak dijawab. Lantas, dia menyuruh pekerjanya membawa anaknya mengelilingi kawasan perkarangan masjid.

Keesokan harinya barulah muncul Haji Jamil dan isterinya di kedai. Apabila anak Mohd. Ravi ternampak sahaja mereka, dia menangis dan minta dibawa ke masjid.
“Selepas lebih sejam, mereka balik dan saya diberitahu anak saya sedikitpun tidak kekok berwuduk, bersolat dan berdoa. Bukan saya sahaja yang hairan malahan Haji Jamil dan isterinya. Pernah juga risau, kalau-kalau anak saya pula yang mengajak saya bersolat.

“Lantaran itu, sewaktu bersama teman dalam perjalanan ke satu destinasi, saya cuba-cuba bersolat. Selepas itu, sekali lagi saya bermimpi, saya berada di dalam kenderaan bersama seorang teman mualaf, Mohd. Ibrahim tiba-tiba saya terlihat sebaris ayat al-Quran di langit. Saya ceritakan mimpi itu kepada Haji Jamil tetapi entah macam mana hati saya menjadi sayu, sebak dan terus menangis,” jelasnya.

Keesokannya pula, Mohd. Ravi bermimpi mengucap dua kalimah syahadah sebanyak dua kali lafaz dan kemudian bermimpi pula disuruh mendirikan solat oleh seorang lebai serba putih.
“Pada masa itu saya menolaknya biarpun beberapa kali digerakkan kerana terlalu mengantuk. Saya lihat jam menunjukkan pukul 5.45 pagi iaitu waktu solat Subuh,” akui Mohd. Ravi sekali lagi mengalami satu kejadian luar biasa di kedainya sekali gus membawa kepada detik pengislaman di hadapan pakar motivasi, Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah pada 12 Julai 2006.

Namun kata Mohd. Ravi, pada hari dilangsungkan pengislaman itu juga ada kisahnya yang tersendiri. Siapa sangka hasratnya untuk meneruskan niat pengislaman sedikitpun tidak dibantah ibu sungguhpun dia sekadar diberitahu menerusi telefon beberapa minit sebelum majlis itu.
Tidak terhenti di situ sahaja, Mohd. Ravi diislamkan sekali lagi di hadapan ketua kampung, Masjid Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor, Haji Rosli Deren, esoknya.
Dua bulan kemudian, barulah dia ke Pejabat Agama Islam Sepang untuk membuat pendaftaran pengislaman.

Benarlah bagai dikata, bergelar saudara baru mengundang pelbagai cabaran dan dugaan yang menuntut kesabaran. Penulis dikejutkan apabila pertanyaan tentang situasi getir itu menyebabkan Mohd. Ravi spontan sebak meskipun berusaha menyembunyikannya.

Rupa-rupanya apa yang dihadapi itu ada hikmah di sebaliknya serta lebih mendekatkan serta menambah keyakinan beliau kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Sekelip mata kehidupan Mohd. Ravi berubah dan keperitan itu tidak terhingga rasanya.

“Alhamdulillah, isteri saya begitu memahami dan sentiasa menyokong biarpun dia sendiri terkena tempiasnya. Saya mengambil keputusan menyendiri di masjid berhampiran dengan tujuan mencari ketenangan.

“Sepanjang di sana saya tidak henti-henti berdoa dan berjanji kepada-Nya bahawa walau apa dugaan yang melanda, saya tidak akan lari daripada Allah,” tambahnya.
Menurut Mohd. Ravi, beliau sekali lagi bermimpi berada dalam suasana seperti di masjid dan semua orang dalam keadaan gembira.

“Apabila saya tersedar, hati saya jadi tenang. Sejak itu satu demi kehidupan saya berubah. Saya berterima kasih kepada mereka yang banyak membantu sama ada secara langsung dan tidak langsung.
“Ini kerana sokongan dan kepercayaan merekalah yang membangkitkan semangat dan kekuatan saya sekali gus berazam membuktikan kejayaan setelah bergelar Muslim,” katanya yang sehingga kini berjaya mengislamkan tiga orang dan tidak melepaskan peluang mengikuti kursus-kursus ilmu anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Akui Mohd. Ravi, pengalaman kerohanian yang dikurniakan Allah silih berganti ke atasnya, telah membina benteng keimanan yang tidak berbelah bahagi kepada-Nya biarpun ada segelintir pihak yang berniat tidak baik kepadanya.

Keyakinan ini bertitik tolak daripada hadis di atas kerana setiap yang kita anggap buruk, teruk ataupun negatif itu ada hikmah yang Allah sahaja mengetahuinya.Bagi Mohd. Ravi tiada apa yang lebih menggembirakan apabila pengislamannya turut diikuti isteri tercinta, Siti Khatijah Abdullah, 35. Perkahwinan yang dibina diceriakan dengan keletah dua ‘heronya’ iaitu Mohd. Yuven, 7, dan Mohd. Puven, 5.

Kini, apabila rumah tangga dan perniagaan semakin stabil, Mohd. Ravi beriltizam untuk berdakwah menyebarkan syiar Islam dan pada masa yang membantu mereka yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim piatu.

Kini untuk tujuan tersebut beliau telah diamanahkan sebagai Setiausaha Kehormat PERKIM cawangan Putrajaya di samping Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Mualaf Daerah Sepang di bawah kendalian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Kepada Muslimin muslimat yang ingin mendapatkan khidmat pembelian, penjualan penyewaan kenderaan dan sebagainya dari perniagaannya bolehlah menghubungi beliau di talian 019-324 2734 @ 012-671 6201, Pejabat 03-8926 7081, Faks 03-8926 7734.

Sementara itu, pesara tentera, Razali Husseen memberitahu, bantuan yang dihulurkan kepada Mohd. Ravi cuma sekecil zarah berbanding pertolongan sewajarnya kepada mereka yang bergelar mualaf.
“Ramai yang alpa tentang tanggungjawab setiap umat Muslim terhadap saudara sesama Islam apa lagi orang itu adalah seorang saudara baru. Ini kerana tentangan dan cabaran yang dihadapi jauh lebih hebat berbanding umat Islam asli.

“Saya melihat Mohd. Ravi ini seorang yang sudah ada ciri-ciri Islam sebelum memeluk Islam lagi. Jadi, kalau kita tidak dapat membantu dari segi material, sokongan moral itu sudah jauh lebih baik,” ceritanya yang sering mencuci kereta di situ. Rakannya, Abdul Rahim Mohd. Nor pula berkata, sikap istiqamah yang ditunjukkan oleh Mohd. Ravi wajar dicontohi kerana itulah keunikan beliau dari sudut pandangannya.

“Ada ketikanya Mohd. Ravi meluahkan kepada saya tentang sikap segelintir umat Islam yang sudahlah tidak membantu tetapi tambah menyusahkan hidupnya.
“Hakikatnya, orang Melayu Islam perlu bersikap lebih terbuka dan jangan menganggap agama Islam itu milik bangsa mereka semata-mata. Sebenarnya, kita perlu sama-sama memudahkan sejajar dengan saranan Islam iaitu Islam itu mudah,” katanya sebelum kami menikmati makan tengah hari.

Thursday, July 9, 2009

Oleh: Mohd Masri bin Mohd Ramli



(Semoga Allah menempatkan Marwa alSharbini di kalangan Syuhada')

Kematian Marwah Al-Sharbini di tangan pemuda Rusia yang amat membenci Islam bukanlah sesuatu yang baru. Beliau dibunuh hanya kerana beliau seorang Muslimah yang tegar memakai pakaian yang menutup aurat. Ini hanyalah satu ulangan kepada rentetan peristiwa anti hijab yang berlaku di seluruh dunia. Selepas kejatuhan empayar Uthmaniyah, di antara satu penyebabnya ialah konspirasi Mustafa Kamal at-Tartuk, antara perubahan yang dibawa bagi menghapuskan nilai hidup Islam di kalangan masyarakat Islam Turki ialah pengharaman tudung.

Kenapa mereka terlalu takut dengan sehelai kain yang menutupi rambut wanita Islam? Ia adalah satu perkara yang menghairankan. Akan tetapi seandainya kita menyelusuri sejarah penutupan aurat, nescaya kita akan menemui jawapannya. Aisyah radiallahu `anha berkata: "Semoga Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama. Tatkala turunnya perintah Allah (di dalam surah an-Nur:31 yang bermaksud: Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka hingga menutupi dada..), maka mereka terus mengoyak kain-kain mereka dan bertudung dengannya". (Sahih al-Bukhari)

Berdasarkan penjelasan Aisyah radiallahu `anha, kita mendapati bahawa ketika turunnya ayat menyuruh wanita Islam menutup aurat, tanpa banyak alasan dan soalan, terus para sahabat menuruti arahan tersebut. Ini menunjukkan kekuatan iman mereka. Kekuatan iman inilah yang menjadi punca kejayaan para sahabat radiallahu `anhum. Mereka patuh dan taat kepada segala suruhan dan larangan Allah Tabaraka Wa Taala. Kekuatan inilah yang dicemburui oleh para musuh-musuh Islam. Mereka tahu bahawa kekuatan umat Islam ada pada keimanan mereka, lalu untuk memusnahkan umat Islam mestilah dimulai dengan memusnahkan keimanan mereka.

Umat Islam sering lupa bahawa segala aspek kehidupan mereka di dunia ini, tidak kiralah di dalam ibadah khusus kepada Allah seperti solat, puasa, zikir mahupun kehidupan dunia seperti belajar, berniaga dan lain-lain. Kesemuanya berpaksikan kepada dua kalimah syahadah yang sering kita baca yang bermaksud "Aku bersaksi tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan aku bersaksi Nabi Muhammad pesuruh Allah". Oleh kerana itu, pemakaian menutup aurat juga tidak terlepas daripada kaitannya dengan syahadah kita kepada Allah.

Pakaian yang menutup aurat merupakan lambang ketaatan kita kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wassalam. Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wassalam bersabda: "Apa yang aku larang hendaklah kamu hindarinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu laksanakan semampu kalian" (Muttafaq `Alaih). Arahan menutup aurat telah jelas termaktub di dalam al-Quran dan hadis yang sahih. Memakainya adalah satu bentuk ketaatan, manakala menanggalkannya pula adalah satu bentuk maksiat kepada Allah dan derhaka kepada rasulNya.

Allah Tabaraka Wa Taala berfirman: Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin: "Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenali,oleh kerana itu mereka tidak di ganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Ahzab:59) "

Di dalam ayat di atas, Allah Tabaraka Wa Taala secara jelas menerangkan di antara objektif pensyariatan hukum menutup aurat adalah supaya orang beriman lebih mudah dikenali. Dengan memakai pakaian menutup aurat, kita dapat membezakan antara individu yang beriman dengan individu yang tidak beriman. Membezakan diri daripada orang bukan Islam adalah salah satu tuntutan aqidah Islam. Ia termaktub di dalam konsep al-Wala' (kesetiaan) dan al-Bara' (berlepas diri). Konsep al-Bara' yang menuntut agar kita berlepas diri daripada segala bentuk kekufuran, membenci orang-orang yang kufur serta menjauhi daripada menyerupai identiti mereka.

Umat Islam seolah-olah melupai tuntutan ini. Pemakaian menutup aurat hanya dilihat sebagai satu hukum hakam feqh yang kecil. Ia dilihat sebagai salah satu perkara cabang yang hanya dipandang enteng. Akan tetapi kita melihat sebaliknya berlaku di kalangan musuh-musuh Islam. Mereka seolah-olah memahami betapa pentingnya konsep al-Wala' dan al-Bara' di dalam Islam, lalu mereka cuba melemahkan benteng yang utuh ini. Mereka mahu umat Islam tidak lagi berbeza dengan mereka. Apabila berada di jalanan, kita tidak lagi dapat membezakan siapakah yang Islam, dan siapakah yang bukan Islam.

Salah satu perkara yang mereka serang bagi melemahkan al-Wala' dan al-Bara' ialah melalui pakaian. Serangan ini dilakukan dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui perundangan yang menyekat hak-hak wanita Islam yang menutup aurat, mahupun melalui propaganda media massa. Serangan kedua inilah yang paling merbahaya. Ia merebak hatta di negara kita. Kempen-kempen kebebasan ditonjolkan di kaca televisyen sama ada melalui drama, telenovela mahupun iklan-iklan syampu yang cuba menonjolkan keayuan perempuan yang membuka aurat. Pemakaian menutup aurat digambarkan sebagai satu undang-undang yang kolot dan menyekat hak asasi manusia. Mereka lupa bahawa tindakan mereka menghalang wanita Islam menutup aurat juga bertentangan dengan hak asasi manusia.

Musuh Islam tidak pernah berputus asa. Tidak semua umat Islam dapat mereka pengaruhi untuk membuka aurat dan membenci hukum menutup aurat. Bagi mereka yang menutup aurat pula, mereka dikelirukan di dalam isu purdah. Kekeliruan yang muncul ini hingga menyebabkan segelintir umat Islam memandang wanita Islam yang memilih menutup wajah mereka daripada pandangan bukan mahram sebagai sekelompok manusia yang ekstrim dan melampau di dalam mengamalkan ajaran Islam.



Umat Islam seolah-olah lupa itulah pakaian isteri Rasulullah Sallallahu `Alaihi Wassalam. Para sarjana Islam berbeza pendapat di dalam isu wajah aurat atau tidak. Ia telah dijelaskan secara terperinci oleh Shaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di dalam kitab beliau Jilbab al-Mar'ah al-Muslimah. Beliau berpegang bahawa wajah bukan aurat. Manakala untuk membaca hujah sarjana yang mewajibkan pula, bole dilihat di dalam kitab Risalah Al-Hijab susunan Shaikh Muhammad bin Shalih al-Uthaimin. Tidak kiralah sama ada kita berpegang wajah aurat atau tidak, wajib atau tidak menutup wajah. Kita hendaklah menerima hakikat bahawa pemakaian purdah menutup wajah adalah antara salah satu perkara yang disyariatkan di dalam Islam.

Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin menyatakan: "Wanita yang memakai purdah berpegang dengan pendapat golongan ulama yang mewajibkannya. Ini adalah hak mereka. Selagi mereka berkeyakinan pendapat yang menyatakan ianya wajib itu kuat, maka mereka wajib memakainya. Ini kerana seseorang itu berpegang kepada apa yang dia yakin. Seseorang individu tidak wajib mengikut mazhab orang ramai, tetapi hendaklah mengikuti apa yang dia faham dan yakin yang berpandukan perbahasan-perbahas an para imam ahli sunnah wal jama`ah." (http://drmaza. com/home/ ?p=68)

Umat Islam hendaklah sedar, serangan yang ditujukan kepada tudung dan purdah adalah salah satu cara untuk menghancurkan identiti Islam. Adalah amat malang apabila segelintir wanita Islam masih degil daripada menutup aurat walaupun tiada siapa yang akan membunuhnya seandainya dia menutup aurat di Malaysia. Mendukacitakan lagi, apabila pemakaian purdah di Malaysia masih dipandang sebagai sesuatu yang taboo dan di sesetengah tempat, pemakai purdah dinafikan hak untuk bekerja dan belajar. Semoga darah yang mengalir dari tubuh Marwa al-Sharbini akan membangkitkan umat Islam daripada tidurnya.

***Penulis adalah pelajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Gombak. Beliau aktif di dalam bidang kefasilitatoran bersama INTIS Consultant. Tulisan beliau boleh dibaca di http://lobaitampin. blogspot.com

Sunday, July 5, 2009

Orang Melayu benci orang masuk Islam?

"Artikel ini berbeza dengan artikel biasa saya yang berkaitan politik. Artikel kali ini berhubung pengalaman saya mengislamkan ramai sahabat dari kaum bukan Melayu dan sikap kaum Melayu yang seakan-akan benci melihat orang masuk Islam, secara tidak sedar. Ini lebih ketara dalam kes Shahrukhkhan dan Micheal Jackson. Mari lihat analisa lengkap dalam isu ini.

1. Tiada hajat pun

Kebanyakan orang melayu suka mencerca kaum Cina dan kaum bukan Islam lain tetapi tidak pernah berhasrat mengislamkan sesiapa. Sekiranya berhasrat, anda boleh memperkemaskan ilmu anda berhubung akidah lalu menyertai NGO seperti ABIM khususnya di bahagian Outreach.

2. Suka pertikai keikhlasan saudara baru

Inilah yang saya paling menyampah sekali! Suka benar tanya ikhlas atau tak ikhlas nak masuk Islam. Yang dah Islam 30 tahun pun belum tentu ikhlas betul jadi tak payah kecoh la dengan saudara baru. Dia baru nak belajar Islam. Ada kes seorang saudara baru ingin masuk Islam (dari German) yang datang ke Malaysia dan berhasrat nak masuk Islam. Selepas di'soal siasat' berhubung keikhlasan beliau hendak masuk Islam, samada ikhlas atau hendak berkahwin dan sebagainya, alih-alih dia balik aje, tak jadi masuk Islam! Bodo sungguh institusi terbabit. Nabi pun mengembangkan Islam dengan perkahwinan sebagai satu cara dakwah, jadi apa yang nak kecoh sangat?!

3. Isu Micheal Jackson

Ramai yang kecoih samada Micheal Jackson betul-betul Islam atau tidak. Kalau dah ada saudara baru buat sidang media kata dia masuk islam, nak tanya apa lagi?. Kenapa ramai yang teringin sangat nak bertanya samada dia Islam atau tidak? macam tak selesa sangat bila orang masuk islam.

4. isu Shahrukhkhan

Ramai benar yang iya-iya nak bunuh Shah Rukh Khan kerna tak mengikut ajaran Islam. Sepatutnya kita dakwah dia dulu. Dampingi dan jelaskan Islam padanya dulu. HAri tu dia dah datang Melaka, sepatutnya kita bagi senaskah buku ringkas yang ada penjelasan tentang kesyumulan Islam. Kalau setakat nak maki cerca aje, yes, itulah stail lazim orang Melayu..

MArilah kita berubah. Wassalam

Friday, July 3, 2009

SAYA BUKAN KAFIR

assalamualaikom,

Muallaf adalah orang yang mulia di sisi Allah. Seperti bayi yang baru lahir. Bersih tiada dosa pun. Saya pun selelu dengar mereka tersepit diperlakukan sedemikian.

Orang yang dah lama Islam tak semestinya mereka benar-benar menghayati cara hidup Islam. Apatah lagi pada zaman sekarang ni. Ibu bapa sebok dengan hal masing-masing. Tidak cukup masa untuk mendidik dan mengasuh anak. Kalau pun ada masa tapi tak berilmu atau tak berupaya untuk mengajar. Tetapi tak semua yang macam ni. Ada juga yang mampu mendidik dan mengasuh anak-anak menjadi manusia. Sebab itu masih ada lagi kaum Melayu yang beri sokongan kepada muallaf ni. Allah Maha Adil.

Orang-orang Muallaf ini memang perlu sabar sebab mereka ini mendapat hidayah Allah. Mereka sekarang ini telah kembali daripada kesesatan(revert) . Syukur alhamdulillah. Orang-orang melayu yang dah lama Islam ni kalau tak faham Islam sebenar-benarnya akan dihijab oleh semangat kemelayuan yang tebal. Mereka di dalam kepompong melayunya yang beranggapan melayu itu Islam. Tak perlu berakhlak baik agaknya. Mungkin kerana bila mereka mula mengenal dunia ini pandangan mereka hanya pada orang melayu yang semuanya beragama Islam. Banyak persekitaran yang menjadikan melayu begini. Salah satu daripadanya ialah suasana politik. Di Padang Mahsyar kelak amalan masing-masing lah yang akan membezakan antara satu sama yang lain.

Anak-anak Melayu yang melakukan kezaliman pada Muallaf ini adalah atas kejahilan dan kesombongan mereka dan mereka beranggapan yang salah bahawa orang melayu sahaja yang beragama Islam.
Maka orang yang baru 'revert' nak berdakwah pada mereka yang lahir daripada anak seorang Islam. Sebagai contoh. Kata mereka "mak bapak aku tak pernah tegur aku melepak kat tembok, ini pula orang yang baru 'revert'" Orang kata nak berdakwah mesti ada ilmu juga iaitu ilmu berdakwah. Sebab keadaan manusia sekarang dah semakin rumit kerana dipengaruhi oleh persekitaran yang kita sendiri cipta. Ini semua kerana kejahilan dan kesombongan mereka yang telah disebut tadi.

Memang benar sejak negara ini merdeka, bukan hanya 45 tahun, keadaannya masih sama dan mungkin lebih teruk.

Persoalannya suasana sekarang sudah menjadi teruk. Pengaruh persekitaran memainkan peranan yang besar. Walaupun ibu bapa mendidik dan menyekolahkan anak-anak. Macam-macam boleh mempengaruhi mereka di pertengahan jalan. Pergaulan, media, tekanan hidup dan bermacam-macam lagi.

Ibubapa mana yang hendak anak mereka jadi jahat. Siapa hendak anaknya jadi perompak, pencuri, pembunuh. samseng jalanan, bohsia dan sebagainya.

Friday, June 26, 2009

PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan

Pendahuluan

Sejak Islam sampai ke Malaysia, iaitu pada awal abad ke 14, mengikut pendapat terkuat setakat ini ia terus berkembang . Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 perkembangan dakwah lebih jelas terutamanya apabila timbul kesedaran golongan-golongan muda. Penganut-penganut agama Islam di Malaysia dalam dua dekad yang terakhir ini iaitu bermula dari awal 1970an.

Di samping itu dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia yang menjadikan agama Islam sebagai agama negara. Pemerintah Malaysia juga memainkan peranan dalam gerakan dakwah di negara ini yang membuatkan agama Islam berkembang secara terhormat. Dakwah di Malaysia datang dari dua pihak, pertama digerakkan oleh kerajaan, kedua digerakkan oleh orang ramai.

Untuk mengembangkan ajaran Islam dan aktiviti-aktiviti yang berhubung kait dengannya pihak kerajaan telah menubuhkan badan-badan dakwah antaranya JAKIM, YADIM, jabatan-jabatan agama dan bermacam-mcam pertubuhan dakwah telah wujud termasuklah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

PERKIM merupakan satu-satunya pertubuhan yang bergiat cergas dalam bidang kebajikan dan dakwah kepada orang-orang Islam dan bukan Islam. Ia ditubuhkan untuk mengembangkan ajaran Islam kepada orang yang bukan Islam. Ia ditubuhkan untuk mengembangkan ajaran Islam kepada orang yang bukan Islam terutamanya yang tidak memeluk mana-mana agama. Ia juga bertujuan untuk memberi khidmat kepada saudara-saudara baru bagi menambahkan ilmu-ilmu agama dan menolong mereka menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.

Sejarah Penubuhan PERKIM

Tercetusnya idea untuk menubuhkan PERKIM lahir daripada Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Padang Arafah apabila melihat sendiri perpaduan sejagat di kalangan umat Islam dalam satu ikatan akidah yang mengenepikan sama sekali batas-batas bangsa, warna kulit, darjat, pangkat, tua dan muda.

Dengan gabungan tenaga dan bantuan rakan-rakan yang dianggap tokoh yang dapat mengembangkan lagi PERKIM di semua negeri-negeri, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ditubuhkan pada 8 Julai 1977 mengikut akta pertubuhan 1966 yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abd. Aziz Zain dan beberapa orang lagi.

Di awal penubuhan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur muncullah nama-nama besar yang dianggap tokoh dalam membangunkan PERKIM seperti Tan Sri SOK Ubaidillah, Tan Sri Mubin Sheppard, Haji Ibrahim Ma, Haji Ibrahim Exford, Tan Sri Yusuf Ibrahim dan Tan Sri Abd. Aziz Zain yang masih aktif sehingga ke hari ini.

PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur terletak di Tingkat M, Bangunan Balai Islam PERKIM berhadapan Balai Polis Sentul, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Diubahsuaikan setanding dengan kemajuan Islam hari ini. Kedudukannya yang strategik memudahkan saudara-saudara baru dan masyarakat umum di sekitar Wilayah Persekutuan untuk berkunjung dan menghadiri majlis-majlis ilmu dan aktiviti harian untuk faedah mereka.

Objektif PERKIM

PERKIM Bahagian Wilayah Persekutan merupakan pertubuhan sukarela yang diasaskan untuk menjalankan kerja-kerja pembangunan masyarakat serta menyediakan perlindungan dan bantuan kepada anak-anak yatim, golongan-golongan orang miskin dan yang tidak berupaya yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa dan agama selaras dengan ajaran Islam.

Selain daripada itu, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan juga bekerjasama dengan badan-badan kebajikan dan dakwah seperti JAKIM, JAWI, ABIM dan lain-lain lagi. Di samping itu PERKIM juga adalah untuk mengembangkan ajaran Islam kepada mereka yang bukan Islam terutama sekali bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang anutan agama.

Ia juga bertujuan untuk menolong golongan saudara-saudara baru menambah kefahaman agama dan amalan di dalam satu akidah Islam di samping itu PERKIM juga memberi bantuan kepada saudara-saudara baru yang di dalam kesusahan, ditinggalkan keluarga akibat daripada memeluk agama Islam dan lain-lain lagi.

Organisasi pentadbiran PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur ditadbirkan di bawah mempunyai dua objektif yang tersendiri :

i) Menyelaras segala urusan pentadbiran PERKIM disemua cawangan supaya pentadbiran PERKIM berjalan dengan cekap dan berkesan.

ii) Merancang aktiviti PERKIM untuk dilaksanakan dengan jayanya.

Senarai Cawangan PERKIM Wilayah Persekutuan

Pada ketika ini PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan mempunyai 12 Cawangan iaitu :-

1) PERKIM Cawangan KL Utara
2) PERKIM Cawangan Bangsar
3) PERKIM Cawangan Taman Melati
4) PERKIM Cawangan Desa Setapak
5) PERKIM Cawangan Cheras Utama
6) PERKIM Cawangan Bukit Bandaraya
7) PERKIM Cawangan Pergerakan Belia
8) PERKIM Cawangan Putra
9) PERKIM Cawangan ASDAF
10) PERKIM Cawangan Bukit Damansara
11) PERKIM Cawangan Lembah Pantai
12) PERKIM Cawangan Putrajaya

Aktiviti-Aktiviti PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan

PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan mempunyai 3 aktiviti yang utama iaitu Dakwah dan Pendidikan, Kebajikan dan Pentadbiran Kewangan

Dakwah dan Pendidikan

i. Khidmat Dakwah dan Kaunseling
Memberi perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada semua golongan masyarakat yang memerlukan pada waktu pejabat

ii. Pengislaman
Memberi maklumat yang lengkap tentang pengislaman sebelum mengislamkan sekaligus meringankan JAWI pada waktu pejabat.

iii) Mengadakan majlis sambutan hari-hari kebesaran Islam mengikut tarikh dan bulan berkenaan

iv) Mengadakan kelas-kelas pengenalan Islam pada setiap hari dan malam mulai Isnin hingga Jumaat dan tazkirah hujung minggu setiap sabtu.

v) Kursus untuk wanita
Diadakan selama enam bulan dalam bentuk 2 siri terbuka kepada semua golongan wanita.

vi) Majlis Berbuka Puasa dan Sivik Ramadan
Mengadakan jamua bebuka puasa selama sebulan khas kepada saudara baru di samping memberi tazkirah dan solat tarawih berjamaah

vii) Ijtimak Tahunan Saudara Kita
Bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan silaturrahim di kalangan saudara baru dan masyarakat setempat, diadakan selama 3 hari 2 malam pada setiap tahun.

Aktiviti Kebajikan

PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan menjalankan aktiviti kebajikan seperti :-

i) Memberi sumbangan kepada saudara baru yang memerlukan bantuan
ii) Memberi sumbangan berupa hamper kepada anak-anak tahanan kes juvana
iii) Memberi sumbangan pakaian terpakai
iv) Membantu mangsa-mangsa bencana alam dan mangsa kecemasan
v) Memberi sumbangan hari raya
vi) Memberi bantuan kepada ibu-ibu tunggal
vii) Membuat lawatan ke hospital
viii) Menyampaikan bantuan kepada anak-anak yatim
x) Membantu menguruskan jenazah dan lain-lain selain dari yang tersebut di atas.

Pentadbiran dan Kewangan

Sumber kewangan PERKIM Bahagian seperti berikut :-
i) Yuran Keahlian
ii) Sumbangan dari Baitulmal
iii) Sumbangan derma bulan Ramadhan
iv) Sumbangan orang ramai
v) Pelaburan
vi) Bantuan daripada PERKIM Kebangsaan
vii) Lain-lain pendapatan

Objektif

i) Memastikan setiap aktiviti yang diadakan berlangsung dengan jayanya
ii) Membantu menggerakkan cawangan-cawangan melaksanakan aktiviti dari masa ke semasa
iii) Membincangkan permasalahan yang melibatkan PERKIM Cawangan-cawangan di peringkat bahagian
iv) Menguruskan pentadbiran PERKIM mengikut undang-undang pertubuhan
v) Melantik AJK Biro
vi) Menggalakkan sukarelawan
vii) Mengemaskinikan daftar keahlian
viii) Memantau cawangan-cawangan PERKIM Bahagian
vi) Mengendalikan aktiviti dakwah/kebajikan/kewangan
x) Mengendalikan kursus/seminar/bimbingan

Perancangan Aktiviti Dakwah Dan Kebajikan Tahun 2007
Keterangan lanjut sila e-mail ke alamat info@perkim.net.my

PERKIM BAHAGIAN W.PERSEKUTUAN
Tingkat ‘M’ Balai Islam
No 250-D, Jalan Ipoh
51200 Kuala Lumpur
Tel / Fax: +603 4043 4801


Pengerusi: Datuk Hj. Mohd Nakhaie bin Hj. Ahmad

PERKIM Cawangan PUTRAJAYA

Tel: 0192413438


Pengerusi: En. Mohamad Nazir Zakaria